
Kelibat pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 bagi kategori beregu campuran, Huang Ya Qiong berkemungkinan besar tidak akan dapat dilihat beraksi di atas gelanggang di kejohanan-kejohanan antarabangsa.
Ianya susulan pemain yang bakal menjelma usia 31 tahun pada penghujung Februari kelak mengumumkan telah berundur sebagai pemain bagi skuad kebangsaan negara kelahirannya, China.
Menurut satu hantaran di akaun Instagram peribadinya pada Rabu, Ya Qiong yang membentuk gandingan ampuh bersama-sama Zheng Si Wei menjelaskan tindakannya itu dibuat berikutan pelbagai kecederaan dialaminya sebelum ini dan pertambahan usia.
Perkara tersebut telah membuatkan keyakinannya berkurangan bagi menguji kemampuan untuk menjelmakan kemenangan dan kejuaraan buat China.
Walaupun mengumumkan pengunduran selaku pemain skuad kebangsaan China beralih kepada lembaran baharu dalam hidupnya, Ya Qiong berkongsikan hasratnya untuk terus mencurahkan bakti di dalam sukan badminton yang disayanginya.
Sebagai rekod, sepanjang tujuh tahun bergandingan bersama Si Wei, mereka telah merangkul hampir kesemua gelaran utama dalam sukan badminton seperti juara Jelajah Dunia Akhir BWF, juara Kejohanan Dunia BWF, juara Kejohanan Badminton Asia, pingat emas Sukan Asia dan pelbagai siri pertandingan Jelajah Dunia BWF seperti Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England, Terbuka China, Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia selain pingat emas Sukan Olimpik.
Untuk makluman, Si Wei terlebih dahulu mengumumkan menggantungkan raketnya sekaligus mengumumkan persaraan sebagai pemain badminton profesional selepas berakhirnya saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 yang menyaksikan mereka meraih gelaran juara selepas menumbangkan beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Featured Image: Badminton Asia