Ketahui 4 Tugas Dr. Craig Selaku Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Harimau Malaya
Hafiz Omar

Apakah perkara atau tugas-tugas yang akan dilakukan saintis sukan dari Australia, Dr. Craig Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan bagi skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya?
Pelantikan Dr. Craig yang pernah bersama skuad kebangsaan Australia dan Iran bagi mengisi jawatan baharu itu diumumkan secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini.
Di dalam pengumuman itu, FAM memaklumkan Dr. Craig dipertanggungjawabkan dengan empat perkara iaitu:
- Mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi.
- Mengetuai hal-hal kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan.
- Mengetuai hal-hal pemakanan dan psikologi sukan.
- Mengetuai hal-hal pembangunan kakitangan.

Untuk makluman semua, jawatan ini merupakan jawatan baharu yang diwujudkan dalam penstrukturan baharu melibatkan pasukan kebangsaan yang ideanya dipelopori DYAM Tunku Mahkota Ismail – mantan Presiden FAM dan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam kenyataan yang sama, FAM turut mendedahkan Dr. Craig telah berkongsikan visi dan misinya setelah menjawat ini.
Dua visi yang digariskannya adalah mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia untuk sains sukan dan perubatan sukan; serta membolehkan pasukan senior, junior dan wanita kebangsaan mencapai kejayaan yang berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
Manakala dua misinya pula adalah mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia; meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.
Featured Image: FAM