
Aksi pertama perlawanan akhir Piala ASEAN 2024 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) berhasil dimenangi oleh Vietnam kendalian ketua jurulatih dari Republik Korea, Kim Sang-sik.
Pertembungan menentang pasukan No.1 rantau ASEAN merangkap juara bertahan, Thailand di lamannya sendiri, Stadium Wilayah Phu Tho berakhir dengan keputusan 2-1.
Ianya hasil jaringan berganda penyerang naturalisasi, Rafaelson atau nama Vietnamnya, Nguyen Xuan Son pada minit ke-59 dan ke-73. Sementara itu, Thailand bimbingan Masatada Ishii berhasil meraih jaringan saguhati menerusi Chalermsak Aukkee pada minit ke-83.
Aksi timbal balik perlawanan akhir Piala ASEAN 2024 dijadualkan berlangsung pada 5hb Januari (Ahad) bertempat di gelanggang keramat skuad Gajah Perang, Stadium Rajamangala, Bangkok.
Kemenangan buat Thailand akan menyaksikan satu sejarah baharu ditempa dimana mereka akan muncul pasukan pertama melakar kejuaraan tiga kali berturut-turut sejak pertandingan ini diperkenalkan pada tahun 1996.
Bukan itu sahaja, kejuaraan itu juga menjadi yang kelapan buat Thailand sekaligus mengukuhkan nama mereka selaku pasukan paling berjaya dalam kancah Piala ASEAN.
Sementara itu, Vietnam pula memburu kejuaraan ketiganya dan kali terakhir menjulang trofi bagi kejuaraan ini adalah pada edisi 2018 dengan menumpaskan Malaysia.
Featured Image: VFF