
Pemain tengah berbakat kelahiran Brazil yang berusia 17 tahun iaitu Gabriel Carvalho kini menjadi milik kelab yang menghuni tangga ketiga Liga Pro Saudi (SPL) iaitu Al Qadsiah FC bimbingan Michel.
Kelab berjulukan Fares Al Sharqiya atau Knight of the East itu mengumumkan mengikat khidmat ‘playmaker’ yang turut dijuluki sebagai ‘wonderkid’ baharu Brazil menerusi perkongsian di pelbagai platform media sosialnya, pada Khamis.
Bagaimanapun, Gabriel akan menyertai skuad Al Qadsiah bagi musim 2025-26 selepas usianya genap 18 tahun pada 17hb Ogos kelak. Buat masa ini, Gabriel akan kekal di kelab asalnya, SC Internacional yang beraksi dalam kancah bola sepak Brazil secara pinjaman.
Untuk makluman, Gabriel mula mencuri tumpuan apabila meraih debut bersama Internacional dalam kancah divisyen tertinggi Brazil iaitu Serie A pada Jun tahun lalu ketika menentang EC Vitoria ketika masih berusia 16 tahun dan 9 bulan.
Penampilan pertamanya itu turut dihiasi dengan Gabriel mencipta satu bantuan gol buat Internacional. Sebagai rekod, Gabriel berjaya merekodkan 26 penampilan dalam keseluruhan pertandingan bersama skuad senior Internacional dan menjaringkan satu gol.
Untuk makluman, Al Qadsiah mempunyai beberapa pemain asing ternama seperti Pierre-Emerick Aubameyang (Gabon), Julian Quinones (Mexico) Nacho (Sepanyol), Nahitan Nanez (Uruguay) dan beberapa nama lain lagi.