
Pertandingan bola sepak kalah mati di negara seberang tambak, Piala Singapura akan diserikan dengan kehadiran sebuah kelab berpangkalan di Thailand iaitu BG Pathum United.
Penyertaan kelab berjulukan The Rabbits dalam pertandingan edisi ke-25 tersebut dikongsikan sendiri oleh penganjur menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Singapore Premier League (SPL) pada hari ini.
Perkembangan ini juga menyaksikan dua pemain berwarganegara Singapura iaitu Ilhan Fandi Ahmad dan Ikhsan Fandi Ahmad berpeluang untuk menjulang trofi di negara kelahirannya.
Sebagai rekod, penyertaan BG Pathum United, dahulunya dikenali sebagai Bangkok Glass FC, dalam saingan Piala Singapura bakal menjadi yang ketiga dalam sejarah selepas menyertainya pada edisi 2009 dan 2010.
Penyertaan keduanya dalam saingan ini merupakan yang paling bermakna berikutan The Rabbits berjaya muncul juara selepas menumpaskan Tampines Rovers, kini dikenali sebagai BG Tampines Rovers, dengan kemenangan 1-0.
Kemenangan itu sekaligus membolehkan mereka menempa sejarah selaku kelab dari luar negara yang pertama merangkul kejuaraan bagi pertandingan ini.
Bagi edisi kali ini, sembilan buah kelab lain yang disahkan akan turut bersaingan dalam pertandingan ini ialah BG Tampines Rovers, Lion City Sailors, Geylang International, Albirex Niigata Singapura, Balestier Khalsa, DPMM FC, Hougang United, Tanjong Pagar dan Young Lions.
Untuk makluman semua, sepak mula pertandingan ini dijadualkan pada Februari 2025.