Kelab berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC kini kehilangan tujuh pemain terdiri daripada pemain lokal dan import selepas hampir lapan bulan berlangsungnya Liga Malaysia 2024-25.
Tiga daripadanya baru sahaja diumumkan meninggalkan skuad berjulukan Sang Kenari pada hari ini iaitu Sukhrob Nurulloev (Uzbekistan), Cleylton Santos (Brazil) dan Faiz Nasir (Malaysia).
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pihak kelab menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi.
“Sukhrob dan Cleylton telah mencapai persetujuan bersama bagi penamatan kontrak untuk mengembangkan karier di liga luar Malaysia. Semoga mereka terus maju dan kami mendoakan yang terbaik untuk mereka di pentas baharu.” tulis kenyataan terbabit.
Sementara itu, Faiz pula meninggalkan Kedah Darul Aman berikutan kontrak pinjamannya daripada Terengganu FC telah sampai ke titik penghujungnya.
Sebagai rekod, Sukhrob yang beraksi di bahagian sayap telah tampil sebanyak 17 kali dan menjaringkan 3 gol musim ini. Sementara itu, Cleylton yang merupakan pertahanan diturunkan sebanyak 21 kali dan menjaringkan 4 gol.
Faiz pula membuat 8 penampilan dan tidak mencetak sebarang bantuan gol mahupun menyumbat masuk sebarang bola ke dalam gawang sejak tiba di negeri jelapang padi pada Mac tahun lalu.
“Pihak pemilik, ahli lembaga pengarah, dan pengurusan Kedah Darul Aman FC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir atas sumbangan dan dedikasi yang diberikan sepanjang mereka bersama pasukan Sang Kenari.”
“Kehadiran mereka telah memberikan impak besar di atas padang dengan ketangkasan serta komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi.” ujar kenyataan itu.
Sepanjang musim ini juga, Kedah Darul Aman yang dimiliki oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mengalami kemelut kewangan yang difahamkan menjadi salah satu faktor kepada pemergian bagi sebahagian besar pemain-pemain.
Sebelum ini, Kedah Darul Aman FC telah pun kehilangan khidmat Habib Haroon, Sony Norde, Kalamullah Al Hafiz dan Fikri Che Soh yang meninggalkan mereka untuk menyertai kelab-kelab lain.
Bertambah duka, Kedah Darul Aman turut kehilangan khidmat ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang menerima tawaran untuk membimbing skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) berjulukan Harimau Muda dalam penstrukturan baharu yang sedang digerakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkembangan ini menyaksikan Kedah Darul Aman bimbingan Victor Andrag selaku pemangku ketua jurulatih hanya mempunyai baki dua pemain import sahaja iaitu Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah untuk digunakan mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2024-25.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC