Gelaran kejuaraan Piala ASEAN Edisi Ke-15 (dahulunya dikenali sebagai Piala AFF) menjadi milik skuad bola sepak senior kebangsaan Vietnam bimbingan ketua jurulatih dari Korea iaitu Kim Sang-sik.
Gelaran juara itu juga menyaksikan Vietnam menjulang trofi itu buat kali ketiga dalam sejarah sejak kejohanan itu julung kali dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada tahun 1996.
Kejuaraan itu menjelma susulan Vietnam melakar kemenangan 3-2 dalam perlawanan akhir timbal balik yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Ahad.
Keputusan itu membolehkan Vietnam melakar kemenangan 5-3 secara agregat selepas melakar kemenangan 2-1 pada perlawanan akhir pertama yang berlangsung di Stadium Wilayah Phu Tho pada Khamis lalu.
Kejayaan Vietnam melakar kejuaraan ini turut diserikan dengan pemain naturalisasinya, Nguyen Xuan Son merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dan Penjaring Terbanyak, dan penjaga golnya, Nguyen Dinh Trieu meraih anugerah Penjaga Gol Terbaik.
Pada masa yang sama, kejuaraan Vietnam ini sekaligus mengekang Thailand berjulukan Gajah daripada melakar hatrik atau menjuarai Piala ASEAN secara tiga kali berturut-turut selepas menjuarainya pada edisi tahun 2020 dan 2022.
Featured Image: Liên đoàn Bóng đá Việt Nam – VFF