Indonesia Henti Guna Khidmat Bekas Jurulatih Piala Dunia, Shin Tae-yong
Hafiz Omar

Jodoh Shin Tae-yong, 54 tahun, selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan senior Indonesia menemui titik noktahnya pada hari ini.
Perkembangan mengejutkan itu hadir apabila Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan menamatkan kontrak Tae-yong dari Republik Korea menerusi satu kenyataan media yang disiarkan sebentar tadi.
Penamatan itu turut merangkumi kontrak selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) Indonesia atau berjulukan Garuda Muda.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan pertimbangan yang panjang dan matang serta evaluasi yang dilakukan oleh PSSI dan Badan Tim Nasional secara menyeluruh terhadap performa (prestasi) Tim dan tujuan jangka panjang yang ingin dicapai oleh Tim Nasional Sepak Bola Indonesia.” tulis kenyataan oleh PSSI.
Sebagai rekod, Tae-yong mula diperkenalkan sebagai ketua jurulatih skuad senior Indonesia pada Disember 2019 disamping terlibat dengan skuad kebangsaan B-23, skuad kebangsaan B-20 dan skuad kebangsaan B-19.
Sepanjang membimbing Indonesia, Tae-yong yang pernah mengemudi negara kelahirannya berentap di pentas Piala Dunia 2018 telah mengendalikan 57 perlawanan secara keseluruhan.
Pencapaian terbaiknya adalah membimbing Indonesia ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mara ke pusingan 16 Piala Asia 2023.
Sebagai tambahan, Tae-yong meninggalkan Indonesia di posisi ketiga Kumpulan C dalam Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan mengutip enam mata daripada enam perlawanan.
Featured Image: PSSI