Terbuka Malaysia: Hampar Kain, Letak Tong Sampah & Pasang Kanvas – Bumbung Axiata Arena Bocor

January 7, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Pertembungan sengit dua perlawanan di Terbuka Malaysia 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil terpaksa dihentikan buat seketika berikutan air membasahi gelanggang permainan.

Ianya terjadi berikutan bumbung stadium tertutup yang mampu memuatkan 16,000 tempat duduk itu mengalami kebocoran setelah berlakunya hujan lebat kawasan sekitarnya.

Situasi itu menyebabkan perlawanan melibatkan beregu wanita negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing menentang wakil China, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian terpaksa dihentikan ketika skor 10-11 pada set pertama.

Perkara yang sama turut terjadi pada Gelanggang 3 yang menemukan perseorangan Kanada, Brian Yang dan pemain India, Prannoy H.S. dan perlawanan mereka dihentikan pada set kedua ketika skor 3-6.

Untuk makluman, Brian tumpas di tangan Prannoy menerusi skor 21-12 pada set pertama.

Sudah pasti perkara ini mengganggu rentak permainan bagi kedua-dua beregu wanita dan perseorangan lelaki terbabit.

Susulan kedua-dua gelanggang permainan tersebut basah, pihak penganjur bertindak menghamparkan kain berwarna putih dan hitam serta meletakkan tong sampah bagi menadah titisan air hujan daripada kebocoran atap terbabit.

Ketika artikel ini ditulis, tinjauan kami menyaksikan pihak penganjur sedang giat memasang kanvas di bahagian atap yang mengalami kebocoran sebagai solusi jangka masa pendek mengelakkan air menitis jatuh ke atas gelanggang permainan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd