
Kejohanan Terbuka Malaysia 2025 menyaksikan satu lagi wakil Malaysia ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan 32 selepas gandingan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Leong Jun Hao.
Mangsa terbaru adalah beregu lelaki No.1 negara merangkap finalis Jelajah Dunia Akhir BWF iaitu Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin.
Sze Fei-Izzuddin yang juga merupakan pilihan ketiga kejohanan terpaksa akur dengan penyingkiran itu susulan tewas mengejut di tangan beregu Denmark yang menghuni ranking ke-26 dunia, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard.
Pertarungan itu berkesudahan dengan Sze Fei-Izzuddin tewas menerusi tiga set permainan berskor 15-21, 21-9 dan 18-21 dalam tempoh masa menghampiri satu jam lamanya.
Keputusan yang tercipta pada hari ini juga membolehkan Daniel-Mads dapat membalas dendam terhadap kekalahan yang dialami ketika bertemu Sze Fei-Izzuddin buat julung kalinya di Masters Abu Dhabi 2023.
Sementara itu, Daniel-Mads yang melangkah ke pusingan 16 bagi salah satu siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 akan bertembung dengan beregu Perancis, Christo Popov dan Toma Junior Popov untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Featured Image: Facebook VICTOR