Bumbung Axiata Arena Bocor, PSM Mohon Maaf Kepada Peminat Badminton
Hafiz Omar

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang merupakan agensi bertanggungjawab menguruskan dan menyelenggara Axiata Arena tampil membuat permohonan maaf kepada semua pihak terutamanya penganjur dan peminat badminton.
Permohonan maaf itu dibuat ekoran Axiata Arena yang menjadi venue kepada saingan Terbuka Malaysia 2025, salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 1000, mengalami kebocoran bumbung sekaligus memaksa beberapa perlawanan dihentikan seketika sebelum ianya ditunda ke hari ini.
Menurut kenyataan media yang disiarkan pada hari ini, PSM menjelaskan kebocoran bumbung itu berlaku kerana proses penggantian bumbung lama (sejak 1998) kepada yang baharu dibuat pada pertengahan 2024.
“Proses penukaran bumbung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh JKR mengambil masa selama setahun melalui kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara.”
“Sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena,” tulis kenyataan terbabit.
Sebagai tambahan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Ilyas Jamil menjelaskan kebocoran berlaku disebabkan oleh air hujan yang menitis dan terkena pada gelanggang.
Untuk makluman, kebocoran itu telah mengganggu perlawanan yang sedang berlangsung di Gelanggang 2 melibatkan beregu wanita negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing menentang wakil China, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian.
Manakala, perseorangan Kanada, Brian Yang yang sedang berentap dengan pemain India, Prannoy H.S. di Gelanggang 3 turut turut mengalami situasi yang sama sekaligus turut dihentikan oleh umpire.
Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan pada malam tadi, memaklumkan empat perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada Hari Pertama (Selasa) ditunda ke Hari Kedua (Rabu).
Empat perlawanan tersebut melibatkan pertembungan Li Shi Feng vs Priyanshu Rajawat, Pornpawee Chochuwong vs Anupama Upadhyaya, Aakarshi Kashyap vs Julie Dawall Jakobsen dan Rasmus Kjær-Frederik Søgaard vs Sabar Karyaman-Mohd Reza Pahlevi Isfahani.
Pertembungan antara Brian dan Prannoy yang telah berlangsung separuh jalan turut ditunda ke Hari Kedua.
Sebagai rekod, perlawanan di Gelanggang 2 dihentikan bermula dari pukul 3.56pm (waktu Malaysia) dan bersambung semula sekitar jam 8 malam di Gelanggang 3.