
Berikutan insiden bumbung Axiata Arena mengalami kebocoran dan mengganggu perjalanan saingan Terbuka Malaysia 2025 pada Selasa, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku agensi yang bertanggungjawab terhadap venue tersebut tampil memaklumkan langkah-langkah yang diambil untuk mengelakkan masalah tersebut berulang.
Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini, antara langkah yang diambil oleh PSM dengan kerjasama kontraktor adalah mengalirkan air ke tempat lain sejak pukul 4.30 petang (semalam) sehingga gelanggang boleh digunakan semula.
Kedua, PSM dan kontraktor akan menyediakan lebih sepuluh orang kakitangan untuk bersedia di bumbung selepas ini sepanjang kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini berlangsung.
Ketiga, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor juga memberi kerjasama untuk membuat kerja-kerja bersesuaian dan ianya sedang berjalan.

Keempat, PSM telah pun mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja yang perlu dilakukan terhadap bumbung Axiata Arena.
Untuk makluman, perlawanan kelapan serta kesembilan di Gelanggang 2 dan 3 masing-masing pada petang Selasa terpaksa dihentikan apabila air membasahi gelanggang ekoran air menitis dari bumbung selepas hujan lebat turun kawasan sekitar.
Jelas PSM lagi, Axiata Arena sedang dalam proses penggantian daripada bumbung lama (tahun 1998) kepada bumbung baharu sejak pertengahan tahun lalu.
Proses penggantian oleh kontraktor lantikan JKR itu mengambil masa setahun untuk dilaksanakan menggunakan kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara.
Sejak dari pertengahan tahun 2024 sehingga kini, PSM memaklumkan tiada sebarang kebocoran berlaku.