Trofi Piala Shopee Akan Dipamerkan Di Kuala Lumpur – 12 Januari

January 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Trofi bagi saingan Kejuaraan Kelab ASEAN atau nama komersialnya, Piala Shopee akan dibawa ke Kuala Lumpur pada 12hb Januari (Ahad) untuk dipamerkan kepada orang ramai sekaligus memberi peluang buat para peminat untuk melihatnya secara dekat dan bergambar dengannya.

Trofi itu dibawa ke ibu negara atau lokasi spesifiknya, Sunway Velocity Mall sebagai lokasi penutup kepada Jelajah Trofi Piala Shopee selepas ianya bermula di Hanoi, Bangkok, Jakarta dan Singapura.

Acara Jelajah Trofi Piala Shopee yang berlangsung pada Ahad nanti akan mengambil tempatnya di Vanity Atrium bermula dari jam 11 pagi dan berakhir pada jam 5 petang.

Ianya akan diwarnai dengan kehadiran pemain-pemain bintang dari dua kelab tempatan yang beraksi dalam kancah tersebut, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC seperti Safawi Rasid, Manuel Ott dan Decla Lambert.

Menurut penganjur, pemain-pemain ini dijadualkan turun ke acara tersebut dari jam 3 hingga 4 petang.

Untuk pengetahuan, trofi Piala Shopee ini merupakan rekaan pembuat trofi terkemuka dunia, Thomas Lyte. Rekaan tersebut diinspirasikan daripada logo ASEAN – diilhamkan daripada seberkas sepuluh pohon padi yang diikat bersama melambangkan simbol perpaduan negara-negara anggotanya.

Trofi itu mempunyai berat di bawah 13 kilogram (kg) dan berketinggian 28.6 sentimeter (cm) dengan keluasan mangkuk selebar 43cm.

Sebagai tambahan, kemasukan ke acara Jelajah Trofi Piala Shopee di Sunway Velocity Mall itu adalah percuma.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd