Terbuka Malaysia: Yew Sin-Ee Yi Kejutkan Beregu No.1 Indonesia
Hafiz Omar

Prestasi Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menggamatkan Axiata Arena apabila pasangan No.6 negara terbabit berjaya mengejutkan beregu No.1 Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pada pusingan 32 Terbuka Malaysia 2025.
Biarpun kini sekadar menghuni ranking ke-24 dunia, Yew Sin-Ee Yi berhasil menjinakkan Fajar-Rian yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 15-21, 21-17 dan 21-13 dalam pertarungan yang melangkau lebih satu jam lamanya.
Bertambah bermakna, kemenangan ini dijelmakan Yew Sin-Ee Yi buat julung kalinya selepas terkandas di pusingan 32 dalam tiga kejohanan sepanjang tiga bulan lalu.
Kemenangan ini membolehkan Yew Sin-Ee Yi meneruskan kempen mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini ke pusingan 16.
Menanti mereka di peringkat terbabit adalah beregu Republik Korea, Jin Yong dan Kang Min-hyuk atau beregu Chinese Taipei, Chen Zhi Ray dan Lin Yu Chieh untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Featured Image: BAM