Patrick Kluivert Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Indonesia – Kontrak 2 Tahun

January 9, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Sepertimana didedahkan oleh wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano, legenda skuad kebangsaan Belanda, Patrick Kluivert sah mengemudi skuad bola sepak senior kebangsaan jiran tetangga iaitu Indonesia.

Perkara tersebut telah pun diumumkan secara rasmi oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada Rabu.

Dimaklumkan, Kluivert, 48 tahun diberikan kontrak selama dua tahun oleh PSSI sekaligus menyaksikannya akan mengemudi skuad berjulukan Garuda itu sehingga tahun 2027 disamping mempunyai pilihan untuk melanjutkannya.

Kluivert tidak akan ke Indonesia berseorangan sebaliknya akan ditemani oleh dua individu dari Belanda iaitu Alex Pastoor, 58 tahun, dan Denny Landzaat, 48 tahun selaku penolong jurulatih. Selain itu, Kluivert juga akan dibantu oleh dua jurulatih tempatan kelahiran Indonesia. 

Untuk makluman, Kluivert yang pernah beraksi bersama Ajax Amsterdam, AC Milan, Barcelona, Valencia, Newcastle United, PSV dan Lille memulakan karier kejurulatihannya sebagai penolong jurulatih di AZ Alkmaar, NEC Nigmegen dan Brisbane Roar sebelum mula diberikan peranan pengurus bersama Jong Twente.

Indonesia yang bercita-cita untuk melayakkan diri ke pentas Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Syarikat, Kanada & Mexico pastinya boleh memanfaatkan pengalaman Kluivert yang pernah menjadi penolong jurulatih kepada Louis van Gaal ketika mengemudi Belanda beraksi di Piala Dunia 2014.

Ketika ini mereka sedang menghuni tangga ketiga Kumpulan C dalam Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas mengharungi enam perlawanan.

PSSI akan memperkenalkan Kluivert kepada umum pada 12hb Januari kelak. Perlawanan menentang Australia bagi aksi ketujuh Kumpulan C pada 20hb Mac di Stadium Bola Sepak Sydney akan menjadi perlawanan pertama yang akan dikendalikan oleh Kluivert.

Featured Image: PSSI

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd