Sabah FC Hilang 3 Tonggak Bertemu JDT
January 10, 2025 Hafizuddin Omar

Persiapan Sabah FC terjejas selepas tiga tonggaknya  tidak dapat beraksi menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pada Sabtu.

Tiga tonggak tersebut ialah Gabriel Peres, Telmo Castanheira serta Daniel Ting berikutan memiliki kad merah dalam beberapa siri perlawanan lalu.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano mempunyai perancangannya tersendiri bagi memastikan kesebelasan utamanya nanti mampu memberikan saingan sengit dan mengejutkan JDT.

“Kita meletakkan sasaran tinggi bertemu JDT Sabtu ini berikutan Sabah FC bertemu dengan pasukan terbaik dalam Liga Super. Saya tidak percaya bahawa keputusan seri atau kemenangan sudah cukup sebagai ukuran menentang JDT nanti.”

“Perkara paling penting bagi saya adalah Sabah FC dapat mengekalkan prestasi semasanya dan terus kekal berada pada tahap maksimum. Apa yang penting pemain dapat menggalas tugas dengan baik serta menyumbang mata penting nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, Sabah FC kini mengharungi sembilan perlawanan terakhirnya tanpa sebarang kekalahan – 8 menang dan 1 seri.

Ketika bertemu JDT di tempat sendiri, Staium Likas, semasa pusingan pertama Liga Super 2024-25 pada Julai lalu, Sabah FC yang ketika itu masih di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee tewas 1-3 di tangan JDT.

Sabah FC meraih gol tunggalnya menerusi Gabriel Peres sementara pasukan pelawat meraih tiga golnya menerusi jaringan berganda daripada Romel Morales dan satu daripada Bergson da Silva.

Featured Image: Sabah Football Club

Komen