Terbuka Malaysia: Soon Huat-Shevon Beregu Campuran Negara Pertama Ke Separuh Akhir Sejak 2019

January 10, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kemarau berpanjangan ketiadaan wakil negara bagi sektor beregu campuran di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia kini menemui titik noktahnya, pada hari ini.

Ianya selepas Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai yang kini menduduki ranking keenam dunia berjaya melangkah ke peringkat berkenaan dalam saingan Terbuka Malaysia 2025.

Kemaraan itu dicetak selepas Soon Huat-Shevon yang juga pasangan suami isteri melakar kemenangan bergaya ke atas gandingan China yang berusia 22 tahun masing-masing, Cheng Xing dan Zhang Chi pada peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, pengalaman Soon Huat-Shevon ternyata menjadi senjata ampuh mereka disamping memanfaatkan kesilapan lawan Cheng-Zhang untuk mengakhiri permainan secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 22-20 dalam masa 47 minit.

Kemenangan pada hari ini juga menyaksikan Soon Huat-Shevon kini mendahului rekod pertemuan dengan Cheng-Zhang menjadi 3 kemenangan daripada 5 pertemuan.

Pada peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, Soon Huat-Shevon akan membuat perhitungan dengan beregu campuran yang menduduki ranking ke-57 dunia, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.

Gandingan dari Thailand ini mara selepas mengejutkan beregu campuran No.1 Perancis yang menghuni tangga ke-15 dunia, Thom Gicquel dan Delphine Delrue menerusi skor 21-12, 14-21 dan 21-7.

Untuk makluman semua, gandingan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing merupakan wakil Malaysia terakhir berjaya beraksi di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia pada tahun 2019.

Featured Image: Facebook VICTOR

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd