Terbuka Malaysia: Tang Jie-Ee Wei, Beregu No.1 Dunia Bertembung Di Separuh Akhir

January 10, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan membuat perhitungan dengan pasangan No.1 dunia dari China iaitu Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping bagi merebut slot ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2025.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan berjaya melangkah ke pentas separuh akhir Terbuka Malaysia buat julung kali dalam kariernya selepas menumpaskan Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito dari Jepun – ranking ke-14 dunia.

Pertembungan di peringkat suku akhir itu dimenangi dengan bergaya oleh Tan Jie-Ee Wei sambil disaksikan sendiri oleh penyokong-penyokong dan peminat sukan badminton tanah air secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 21-18 dalam masa 36 minit.

Menariknya, pada edisi tahun lalu, lawan yang sama mengekang Tang Jie-Ee Wei daripada mara ke peringkat suku akhir Terbuka Malaysia apabila meraih kemenangan ketika bertembung pada pusingan 16.

Sementara itu, Yan Zhe-Dong Ping yang meraih kejuaraan Terbuka China 2024 dan Masters China 2024 pula mara selepas menundukkan beregu Chinese Taipei, Yang Po-hsuan dan Hu Ling-fang merangkap pilihan keenam kejohanan secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-14 di peringkat suku akhir.

Untuk makluman, kemaraan Tang Jie-Ee Wei yang mengiringi sepasang lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai ke peringkat yang sama mencipta sejarah baharu dalam arena badminton tanah air dimana dua beregu negara mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia buat julung kalinya dalam sejarah.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd