Terbuka Malaysia: Wei Chong-Kai Wun Meluncur Ke Separuh Akhir
January 10, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun berhasil meneruskan kempen Terbuka Malaysia 2025 mereka ke peringkat separuh akhir dengan bergaya.

Gandingan pemain berusia 25 dan 24 tahun masing-masing itu mengesahkan kemaraan tersebut selepas menumbangkan gandingan adik beradik dari Perancis, Christo Popov dan Toma Junior Popov pada peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Dalam pertembungan tersebut, Wei Chong-Kai Wun yang kini menghuni ranking ke-14 dunia melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-11 dalam masa sekitar setengah jam sahaja.

Kini mereka selangkah sahaja lagi sebelum mara ke perlawanan akhir bagi salah satu saingan Jelajah Dunia BWF Super 1000.

Namun begitu, sebelum mara ke perlawanan akhir tersebut, Wei Chong-Kai Wun terlebih dahulu perlu mengatasi cabaran daripada beregu China, Chen Bo Yang dan Liu Yi yang menduduki ranking ke-18 dunia pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu (11hb Januari). 

Untuk makluman, Bo Yang-Yi mengesahkan kemaraannya ke separuh akhir selepas menyingkirkan beregu England yang menduduki ranking ke-13 dunia, Ben Lane dan Sean Vendy secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-17.

Featured Image: BAM

Komen