Terbuka Malaysia: Beregu No.1 India Kekang Yew Sin-Ee Yi Ke Separuh Akhir

January 10, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki negara yang bergerak secara bebas (independent), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi terpaksa akur menamatkan kempen Terbuka Malaysia 2025 setakat peringkat suku akhir.

Ini berikutan langkah mereka untuk ke separuh akhir bagi saingan Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini dipatahkan oleh beregu lelaki No.1 India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty.

Pertemuan kedua-dua pasangan ini di peringkat suku akhir sebentar tadi berakhir dengan Satwiksairaj-Chirag meraih kemenangan secara “straight set” menerusi skor 26-24 dan 21-15 dalam tempoh masa 50 minit.

Biarpun tersingkir, kemaraan Yew Sin-Ee Yi ke suku akhir bagi saingan bertaraf Super 1000 menjadi permulaan yang cantik bagi tahun 2025 lebih lagi selepas mereka terkandas pada pusingan 32 dalam ketiga-tiga kejohanan yang mereka sertai sejak Oktober lalu. 

Sementara itu, Satwiksairaj-Chirag, ranking kesembilan dunia, yang melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia akan berhadapan beregu Republik Korea, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae, ranking kelima dunia untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd