
Individu yang mempelopori idea penstrukturan baharu skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya, DYAM Tunku Mahkota Ismail mendedahkan telah menemui sehingga tujuh pemain luar negara yang mempunyai darah Malaysia.
Tanpa menamakan atau memberikan sebarang bayangan mengenai setiap pemain tersebut, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) memohon kepada pihak kerajaan untuk membantu proses memberikan pasport kepada pemain-pemain tersebut secepat mungkin.
Ini supaya pemain-pemain tersebut dapat dipanggil untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya bimbingan ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac kelak.
“Kami telah mengenal pasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya.” ujar baginda sambil mengepilkan sekeping foto bersama Tim Cahill (Penasihat Peribadi), Rob Friend (Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya) dan Dr. Craig Duncan (Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Harimau Malaya).
“Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini.”
“Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif.” katanya seperti dikongsikan di akaun media sosial rasminya, pada hari ini.
Sepertimana keputusan undian pada Disember lalu, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan F bersama-sama Vietnam, Nepal dan Laos bagi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027.
Bagi bulan Mac kelak, Nepal yang menghuni ranking ke-175 menjadi lawan pertama buat Harimau Malaya bagi kempen tersebut – dijadualkan pada 25 Mac.
Untuk makluman semua, sekiranya Harimau Malaya berhasrat untuk layak buat kali kedua-dua berturut-turut ke pentas Piala Asia, anak-anak buah Peter tidak mempunyai pilihan selain muncul juara Kumpulan F.
Featured Image: HRH Crown Prince of Johor