
Tiada beregu campuran negara akan beraksi di perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 1000 – pada Ahad.
Perkembangan ini hadir selepas wakil terakhir negara dalam sektor tersebut, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei tewas pertembungan peringkat separuh akhir di tangan beregu No.1 dunia dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.
Pertembungan berintensiti tinggi itu berakhir dengan Tang Jie-Ee Wei, beregu kelima dunia, tewas secara “straight set” menerusi skor 19-21 dan 14-21 dalam masa 50 minit.
Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan kelima dialami Tang Jie-Ee Wei daripada tujuh pertemuan menentang Yan Zhe-Dong Ping di kejohanan antarabangsa.
Terdahulu, beregu campuran yang bergerak secara bebas (independent), Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai terkandas di peringkat separuh akhir selepas tewas di tangan beregu Thailand yang menduduki ranking 57 dunia, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.
Oleh demikian, perebutan gelaran juara bagi sektor beregu campuran Terbuka Malaysia 2025 akan direbut oleh Yan Zhe-Dong Ping dan Dechapol-Supissara.
Featured Image: BAM