RM30 Juta Buat Bola Sepak, PM Anwar Tuntut 4 Perkara
January 13, 2025 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya dan badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima tambahan peruntukan sebanyak RM15 juta daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Peruntukan tambahan itu akan dibiayai oleh pihak swasta sekaligus menjadikan sukan bola sepak menerima peruntukan sebanyak RM30 juta secara keseluruhan selepas Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM15 juta kepada Harimau  Malaya ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober lalu.

“Kerajaan MADANI akan meningkatkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak kepada RM30 juta, yang mana RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.” katanya menerusi kenyataan media yang disiarkan pada Ahad.

Namun begitu, Anwar menuntut peruntukan ini digunakan untuk beberapa tujuan bagi memastikan Harimau Malaya diperkukuh sekaligus dapat mengangkat namanya ke peringkat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa.

Pertamanya, peruntukan ini akan digunakan untuk meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan skuad utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai

Seterusnya, dana ini juga akan dimanfaatkan FAM dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan menyeluruh daripada setiap sudut bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.

Ini dapat disaksikan dengan FAM telah melantik ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu iaitu Peter Cklamovski serta mendatangkan Rob Friend dan Dr. Craig Duncan yang akan berperanan sebagai Ketua Pegawai Operasi (CEO) dan Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan masing-masing.

Tidak dilupakan, Anwar juga mahukan peruntukan ini digunakan untuk mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya. Ini dapat dilakukan dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 (B-23) negara dan secara tidak langsungnya membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman.

Dalam kenyataan media itu juga, Anwar menyifatkan bola sepak sebagai sukan yang amat dekat di hati rakyat Malaysia termasuk dirinya sendiri yang juga mengikuti perkembangan langsung mengenai Harimau Malaya.

Penambahan peruntukan ini adalah salah satu daripada usaha-usaha dilakukan kerajaan pimpinannya bersama beberapa pihak lain dalam memastikan Harimau Malaya muncul sebagai salah satu gergasi bola sepak asia.

Featured Image: HRH Crown Prince of Johor

Komen