Tunku Ismail Aset Tidak Ternilai Untuk Harimau Malaya – PM Anwar

January 13, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) DYAM Tunku Mahkota Ismail sebagai aset yang tidak ternilai buat sukan bola sepak tanah air.

Anwar melabelkan Tunku Ismail sebagai aset yang tidak ternilai itu berdasarkan daripada pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas yang dimiliki baginda dalam industri bola sepak.

Justeru, Anwar mengharapkan agar Tunku Ismail terus memberikan dukungan berterusan kepada skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya serta barisan pengurusannya termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya.” katanya dalam satu kenyataan media mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM15 juta kepada Harimau Malaya dan FAM pada Ahad.

Pencapaian Tunku Ismail di dalam bola sepak ini dapat disaksikan dengan kelabnya berjulukan Harimau Selatan merangkul 10 kejuaraan Liga Super berturut-turut selain meraih gelaran “double quadruple” susulan menjulang keempat-empat trofi yang dipertandingkan dalam kancah Liga Malaysia pada musim 2022 dan 2023.

Selain itu, pencapaian JDT tidak tertumpu di atas padang sahaja dengan meriah pelbagai gelaran kejuaraan bahkan turut meliputi kejayaan di luar padang dengan pembinaan stadium dan pusat latihan berkelas dunia, menarik pemain-pemain ternama serta mengikat kolaborasi dengan pelbagai syarikat ternama antarabangsa.

Rangkaian Tunku Ismail dengan individu-individu penting dan berpengaruh dalam arena bola sepak dunia pula dapat dilihat menerusi pertemuan baginda dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino; Presiden Paris-Saint Germain, Nasser Al-Khelaifi; Naib Presiden AS Monaco & Pemilik Bersama Sunderland AFC, Juan Sartori; Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Nualphan Lamsan, Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Erick Thohir dan ramai lagi baru-baru ini.

Tunku Ismail yang juga mantan Presiden FAM dilihat mempelopori dan menggerakkan idea penstrukturan semula Harimau Malaya yang menyaksikan skuad kebangsaan kini mempunyai ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski dari Australia serta Rob Friend dan Dr. Craig Duncan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Harimau Malaysia masing-masing.

Featured Image: HRH Crown Prince of Johor

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd