Kelab Liga Eropah Ikat Khidmat Penjaga Gol Wanita Kebangsaan, Nurul Azurin
January 13, 2025 Hafizuddin Omar

Kancah bola sepak eropah atau secara spesifiknya, Albania menjadi destinasi seterusnya buat penjaga gol skuad bola sepak wanita kebangsaan dan skuad bola sepak wanita Sabah FA, Nurul Azurin Mazlan.

Perkembangan itu hadir apabila Sabah FA mengumumkan pemain yang bakal menjengah usia 25 tahun itu berpisah dengan mereka bagi menyertai kelab yang berpangkalan di Albania iaitu KFF Vllaznia.

Dimaklumkan, Azurin menyertai kelab yang pernah beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA Wanita (UWCL) pada musim 2022-23 selepas mendapat persetujuan pelepasan daripada Sabah FA.

View this post on Instagram

A post shared by @sabah_womens_team

“Pasukan bola sepak Sabah (Sabah FA) mengucapkan selamat maju jaya dan terus cemerlang sebagai penjaga gol terbaik.” tulis Sabah Football Association Women’s Team menerusi satu hantaran yang dikongsikan pada hari ini.

Untuk makluman, Azurin mula menyertai Sabah FA pada Mei 2024 dan membantu pasukan dari Borneo itu muncul naib juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 dan mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024-25.

Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga Azurin berkelana di luar negara selaku pemain profesional selepas menyertai Misaka United FC dan ShF Presingu yang berpangkalan di India dan Kosovo masing-masing.

Featured Image: FAM

Komen