Ranking BWF: Sze Fei-Izzuddin Kini No.2 Dunia, Pintas Pemenang Pingat Perak Olimpik
January 14, 2025 Hafizuddin Omar

Gelaran Beregu lelaki No.2 dunia kini bertukar tangan menjadi milik gandingan pemain negara iaitu Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin – tertinggi dalam karier sejak bergandingan bersama.

Sebelum ini, kedudukan No.2 dunia itu dihuni oleh beregu China merangkap pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024, Liang Wei Keng dan Wang Chang sejak 17hb Disember lalu

Bagaimanapun, Wei Keng-Chang terpaksa akur turun ke tangga ketiga dunia manakala Sze Fei-Izzuddin merampas kedudukan kedua dunia selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini pada hari ini.

Kemaskini itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin dinaikan kedudukannya dalam Ranking Dunia selepas berhasil mengumpul 85,916 mata daripada 10 kejohanan terbaik disertainya dalam tempoh 52 minggu lepas.

Wei Keng-Chang jatuh ke tangga ketiga dengan dipisahkan 98 mata sahaja berbanding mata yang dipungut oleh Sze Fei-Izzudin.

Kemaskini pada kali ini turut menyaksikan juara Kejohanan Dunia BWF 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menduduki tangga kelima dunia – meningkat satu anak tangga berbanding kedudukan pada minggu lalu.

Sementara itu, beregu-beregu lelaki negara yang lain seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Choong Hon Jian-Haikal Muhammad dan Arif Junaidi-Yap Roy King kekal di tangga ke-14, ke-21 dan ke-23 dunia masing-masing.

Manakala bekas beregu lelaki No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pula mengalami kejatuhan sebanyak tiga anak tangga dan terpaksa menghuni tangga ke-27 dunia pada minggu ketiga tahun 2025.

Featured Image: Kaohsiung Masters

Komen