
Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasil memastikan kekecewaan terkandas seawal peringkat pusingan 32 sepertimana di Terbuka Malaysia pada minggu lalu tidak berulang di Terbuka India yang bermula pada hari ini.
Beregu yang baru sahaja menginjak posisi No.2 dunia secara rasmi sekitar tengah hari tadi memulakan saingan di Terbuka India yang bertaraf Super 750 itu dengan melakar kemenangan ke atas beregu senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong.
Pertembungan yang berlangsung di Gelanggang 3 di Stadium Tertutup K. D. Jadhav itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin melakar kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-16 dalam masa 41 minit.
Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan sulung Sze Fei-Izzuddin ke atas Azriyn Ayub-Wee Kong selepas tewas ketika berentap buat julung kalinya di Kumamoto Masters 2024.
Hasil daripada kemenangan ini, Sze Fei-Izzuddin dapat meneruskan kempen di Terbuka India ini ke peringkat pusingan 16.
Mereka akan menantikan cabaran samada daripada beregu senegara, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King atau beregu Jerman yang menduduki ranking 130 dunia, Daniel Hess dan Marvin Seidel untuk merebut slot ke peringkat suku akhir.
Sebagai tambahan, kempen Sze Fei-Izzudin di Terbuka India pada tahun lalu berakhir di pusingan 16 susulan tumpas di tangan beregu China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi.
Featured Image: Facebook VICTOR