
Pemain No.2 China yang mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia pada minggu terpaksa pulang awal daripada saingan Terbuka India 2025 selepas bertemu perseorangan lelaki negara yang menghuni ranking ke-28 dunia, Leong Jun Hao.
Ini berikutan pemain yang menghuni ranking kelima dunia itu mengalami kekalahan di tangan Jun Hao pada pusingan 32 di bertempat di Gelanggang 1, Stadium Tertutup K. D. Jadhav pada hari ini.
Pertarungan tersebut berlangsung sengit dan berlanjutan selama satu jam dan 18 minit sebelum Jun Hao menoktahkannya dengan kemenangan menerusi skor 18-21, 21-17 dan 21-17.
Bertambah mengejutkan, ini julung kalinya Shi Feng tewas di tangan Jun Hao selepas meraih kemenangan bergaya dalam dua pertemuan terdahulu di Terbuka Indonesia 2024 dan Masters Kumamoto Jepun 2024.
Hasil daripada kemenangan ini, Jun Hao dapat meneruskan kempen Terbuka India – Jelajah Dunia BWF Super 750 – ke peringkat pusingan 16.
Pada peringkat seterusnya, Jun Hao akan berentap dengan seorang lagi pemain China iaitub Weng Hong Yang yang menduduki ranking ke-21 dunia.
Untuk makluman, Hong Yang meraih kemenangan percuma dan mara secara automatik ke pusingan 16 selepas lawannya, Srikanth Kidambi menarik diri daripada kejohanan ini.
Featured Image: BAM