Arsenal Hilang Khidmat Gabriel Jesus, Alami Kecederaan ACL
January 15, 2025 Hafizuddin Omar

Kelab yang menghuni tangga ketiga Liga Perdana (PL), Arsenal terpaksa melupakan khidmat penyerang dari Brazil, Gabriel Jesus sekurang-kurangnya sehingga tamat saingan bola sepak musim 2024-25.

Ini berikutan pemain berusia 27 tahun berkenaan disahkan oleh pihak kelab mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) menerusi satu kenyatan yang dikongsikan sekitar awal pagi tadi.

Kecederaan itu dialami pada lutut kiri Jesus dan pembedahan akan dilakukan dalam masa terdekat serta program pemulihan dan rehabilitasinya akan bermula selepas daripada itu.

Secara umumnya, pemain-pemain bola sepak memerlukan masa sekitar enam hingga sembilan bulan atau lebih untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan ACL sebelum kembali beraksi di atas padang.

Terdahulu, Jesus terpaksa dikeluarkan sekitar minit ke-40, tidak mampu meneruskan permainan, digantikan dengan Raheem Sterling, ketika bertemu Manchester United pada pusingan 3 Piala FA.

Perkembangan ini membuatkan pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempunyai pilihan penyerang tengah yang terhad untuk dibariskan dalam kesebelasan utamanya iaitu Kai Havertz dan Leandro Trossard.

Menurut laporan media antarabangsa, Arsenal sedang berusaha untuk mendatangkan penyerang tengah baharu pada jendela perpindahan musim sejuk berikutan situasi ini.

Featured Image: Arsenal

Komen