Akhyar Rashid Boleh Turun Lawan Johor Darul Ta’zim
January 16, 2025 Hafizuddin Omar

Polemik mengenai samada pemain sayap lincah skuad kebangsaan, Akhyar Rashid boleh diturunkan atau tidak semasa mewakili Terengganu FC untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan timbul lagi selepas ini.

Ianya susulan kontrak pinjaman pemain berusia 25 tahun itu bersama Terengganu FC daripada skuad berjulukan Harimau Selatan telah berubah.

Perkembangan itu hadir berikutan Terengganu FC telah menandatangani Akhyar secara tetap dengan kontrak selama dua musim yang akan mengekalkannya dengan skuad Hitam Putih sehingga berakhirnya musim 2026-27.

View this post on Instagram

A post shared by Terengganu Football Club️️ (@officialterengganufc)

“Melihatkan impak yang diberikan pemain ini dalam mengangkat nama Terengganu FC dalam pertandingan domestik dan juga di peringkat ASEAN, kelab ini telah membuat permohonan secara rasmi untuk menandatangani pemain ini secara tetap dari JDT.”

“Permohonan ini telah diperkenankan oleh Tunku Mahkota Johor DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan bersetuju untuk melepaskan pemain ini khas untuk Terengganu FC dan pemain ini boleh beraksi bersama Terengganu FC sebagai pemain tetap.” tulis kenyataan kelab pada Rabu.

Pada masa yang sama, pihak kelab sendiri turut mengesahkan Akhyar boleh beraksi menentang juara bertahan, JDT dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 17hb Januari (Jumaat) dan 1hb Februari (Sabtu) kelak.

“Ya betul, Akhyar boleh beraksi untuk perlawanan separuh akhir Piala Malaysia,” kongsi pihak kelab di ruangan komen akaun Facebook rasminya.

Sejak menyertai Terengganu FC, rekod dan statistik Akhyar menunjukkannya menjadi pemain tonggak dengan membuat 24 penampilan selain mencetak lapan gol dan mencipta empat bantuan gol.

Featured Image: Terengganu FC

Komen