Kenapa Skuad Senior 130-an Dunia? Kenapa Skuad Remaja Tak Ke Piala Asia? CEO Harimau Malaya Tanya
January 16, 2025 Hafizuddin Omar

Pada Selasa lalu, bekas pemain skuad kebangsaan Kanada yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan berjulukan Harimau Malaya iaitu Rob Friend melaporkan diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.

Selain bertemu dan mengadakan mesyuarat dengan beberapa pimpinan tertinggi FAM dan melawat kawasan sekitar di bangunan setinggi empat tingkat itu, Rob dibawa ke sesi temu bual eksklusif bersama pihak media FAM.

Sambil duduk di atas “thinking chair” berwarna biru berlatarbelakangkan logo kuning hitam FAM, Friend melontarkan persoalan, mengapa pasukan senior berada di ranking 130-an dunia? Mengapa pasukan remaja tidak layak ke Piala Asia?

“Saya ingin tahu,” soalnya menerusi video temu bual eksklusif yang dikongsikan oleh FAM.

Friend yang merupakan salah seorang pengasas Liga Premier Kanada (CPL) dan Pacific FC serta Vancouver FC menjelaskan jawapan kepada persoalan-persoalan itu diperlukannya sebelum merangka sebarang strategi untuk meraih kejayaan bagi jangka masa panjang.

“Saya perlu memahami puncanya dan saya tidak dapat beri jawapan kerana saya fikir kita mempunyai banyak soalan yang perlu ditanya, kemudian, daripada situ kita boleh mula melakukan perancangan dan merangka strategi, mengenal pasti bagaimana untuk membawa kejayaan jangka masa panjang,”

“Saya tidak berada di sini untuk kejayaan jangka masa pendek, saya di sini untuk membina model (kejayaan) mapan untuk jangka masa panjang, ianya akan mengambil masa,” ulasnya.

“Jika kita membina rumah, kita perlu membina asanya terlebih dahulu, jika tidak membina asasnya, rumahnya tidak akan bertahan lama,”

“Tetapi mula-mula sekali, saya di sini untuk bertanyakan soalan, saya di sini untuk mencari punca mengapa perkara ini terjadi? Mengapa pasukan senior berada di ranking 130-an dunia? Mengapa pasukan remaja tidak layak ke (kejohanan asia) peringkat remaja?”

“Kita perlu memahami perkara itu terlebih dahulu, kemudian kita akan bergerak secara bersama-sama dengan visi Tunku Ismail untuk menjadi badan induk yang berjaya dan harapnya satu hari nanti melihat Malaysia di Piala Dunia, itu impian saya,” ujarnya.

Untuk makluman, skuad kebangsaan Malaysia kini berada di ranking ke-132 dunia berdasarkan kemaskini terakhir oleh FIFA pada 19hb Disember 2024. Manakala kedudukan tertinggi pernah Malaysia jejaki dalam Ranking Dunia adalah tangga 130 dunia ketika dibimbing oleh Kim Pan-gon.

Sementara itu, pembangunan bola sepak Malaysia menerima tamparan hebat apabila kedua-dua skuad remaja iaitu skuad kebangsaaan bawah 20 tahun (B-20) dan skuad bawah 17 tahun gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia peringkat umur masing-masing pada tahun ini.

Dimaklumkan, Friend sudah berada di Malaysia sejak minggu lalu dan telah bertemu serta bercakap dengan orang ramai mengenai bola sepak di negara ini termasuk dengan Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim yang mempelopori idea penstrukturan dan revolusi skuad kebangsaan, DYAM Tunku Mahkota Ismail.

Featured Image:  Football Association of Malaysia

Komen