Terbuka India: Tang Jie-Ee Wei Tumbangkan Juara Terbuka Malaysia 2025
Hafiz Omar

Beregu campuran yang merangkul gelaran juara di Terbuka Malaysia 2025, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran kini tersingkir daripada saingan Terbuka India 2025.
Dechapol-Supissara terpaksa akur dengan penyingkiran itu berikutan tewas di tangan beregu campuran no.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei – pasangan sama yang mereka tumpaskan di pusingan 32 saingan Masters Kumamoto Jepun 2024.
Beregu Thailand yang menduduki ranking ke-33 dunia itu tersingkir di pusingan 16. Pertembungan pada hari menyaksikan mereka mengalami kekalahan di tangan Tang Jie-Ee Wei menerusi skor 21-19, 12-21 dan 20-22 dalam masa 65 minit.
Keputusan itu sekaligus mengekang mereka untuk ke peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 ini.
Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei, pilihan ketiga kejohanan yang mara ke peringkat suku akhir pula akan berhadapan dengan sepasang lagi beregu Thailand iaitu Ruttanapak Oupthong dan Jhenicha Sudjaipraparat.
Biarpun sekadar menghuni ranking ke-25 dunia, Tang Jie-Ee Wei tidak boleh memandang enteng dengan gandingan berusia 24 dan 25 tahun masing-masing itu kerana mereka mara dengan mengejutkan pilihan keenam kejohanan dari China, Cheng Xing dan Zhang Chi.
Ruttanapak-Jhenicha melakar kemenangan menerusi skor 21-17, 20-22 dan 21-17.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia