
Beregu lelaki No.1 tanah air yang bergerak secara bebas (independent), Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin menambah satu lagi koleksi kejuaraan selepas memenangi siangan Terbuka India 2025.
Kejayaan itu menjelma selepas Sze Fei-Izzuddin menumbangkan beregu Korea yang menghuni ranking ke-142 dunia, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada Ahad.
Dalam pertembungan tersebut, Sze Fei-Izzuddin berhasil memastikan kejuaraan bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 ini menjadi milik mereka dengan melakar kemenangan menerusi tiga set permainan menerusi skor 21-15, 13-21 dan 21-16.
Kemenangan itu sekaligus menjadikan Sze Fei-Izzuddin yang kini berada di ranking kedua dunia menjulang kejuaraan kesebelas dalam kejohanan individu sejak bergandingan dari tahun 2015, berpisah pada awal 2023, bergandingan semula pada Jun 2023.
Kejuaraan di Terbuka India 2025 ini turut membolehkan mereka membawa pulang ganjaran berupa wang tunai sebanyak AS$70,300 atau bersamaan sekitar RM316,455 serta pungutan 11,000 mata.
Perjalanan Sze Fei-Izzuddin bergelar juara di Terbuka India 2025 turut diserikan dengan penyingkiran beregu tuan rumah, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (separuh akhir), Lee Fang-chi & Lee Fang-jen (suku akhir), Wan Arif Junaidi-Roy King (pusingan 16) dan Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong (pusingan 32).
Featured Image: Facebook VICTOR