Pendakwah Dr. Fathul Bari Terima Pencalonan Exco FAM Penggal 2025-2029

January 20, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemilihan pucuk pimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 menyaksikan pendakwah terkenal merangkap ahli politik iaitu Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya turut dicalonkan untuk merebut salah satu daripada lapan kerusi Ahli Jawatankuasa (EXCO).

Pencalonan nama Dr. Fathul Bari yang memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Hadis daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) disiarkan oleh FAM menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Menerusi hantaran di akaun-akaun media sosialnya, Dr. Fathul Bari yang juga Ketua Bahagian UMNO Kangar turut mengesahkan menerima pencalonan tersebut sekaligus akan bertanding pada pemilihan yang akan berlangsung semasa Kongres FAM pada 15hb Februari kelak.

“Bismillah. Saya dengan rasminya telah menerima pencalonan saya bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Kongres Tahunan FAM Kali Ke-61 bagi penggal 2025-2029.”

“Terima kasih FAM & semua. Moga Allah permudahkan segalanya.” katanya.

Untuk makluman, individu yang dicalonkan sepertimana disiarkan oleh FAM pada Jumaat lalu perlu mengisi Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan dan membalas borang berkenaan selewat-lewatnya pada 23hb Januari (Khamis) dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya.

Selain Dr. Fathul Bari, terdapat 17 individu lain lagi turut dicalonkan oleh ahli-ahli gabungan FAM seperti Datuk Mohd Hisamuddin Yahaya, Tan Chee Heong, Mohd Azizudin Mohd Shariff, YB Hishamuddin Abdul Karim, Dato’ Zainal Abidin Hassan, Zulkifli Che Harun.

Senarai itu diikuti dengan Datuk Kamaruddin Hassan, ACP (B) Md Dali Wahid, Dato’ Adly Shah Ahmad Tah, Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin, Dato’ Dollah Salleh, Christopher Raj Aralanthu, Datuk Dr. Sugumaran A/L Parthasarathy, Dato’ Sri Afandi Hamzah, Dato’ Mustapha Nagoor dan Zamri Ibrahim.

Featured Image: Facebook Dr. Fathul Bari

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd