Pasukan Paling Teruk Dalam Sejarah Man Utd – Amorim
January 20, 2025 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Manchester United (Man Utd), Ruben Amorim melabelkan pasukan kendaliannya sebagai pasukan paling teruk dalam sejarahnya sejak ditubuhkan sekitar 147 tahun lalu.

Perkara tersebut diungkapkannya selepas Man Utd berjulukan Red Devils tewas 1-3 di tangan Brighton & Hove Albion FC pada aksi ke-22 Liga Perdana (PL) di lamannya sendiri, pada malam tadi.

“Kita menjadi pasukan paling teruk, mungkin, dalam sejarah Manchester United, dan saya tahu kamu (wartawan) mahukan tajuk berita tetapi saya menyatakannya kerana kita perlu menyedarinya dan mengubahnya,” kata jurulatih kelahiran Portugal berusia 39 tahun itu dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam pertembungan tersebut, Man Utd bimbingan Amorim tewas menerusi jaringan Yankuba Minteh (5’), Kaoru Mitoma (60’) dan Georginio Rutter (76’). Sementara itu, Man Utd pula mendapat jaringan tunggalnya menerusi Bruno Fernandes (23’) hasil menyempurnakan sepakan penalti.

Amorim menambah, “dalam 10 perlawanan Liga Perdana, kita telah menang dua. Saya tahu perkara itu. Jika ianya (teruk) sebegitu bagi penyokong Manchester United, bayangkan apa pula buat saya. Kamu mendapat jurulatih baharu yang tewas lebih banyak daripada jurulatih terdahulu, saya tahu perkara itu,” ujarnya sepertimana dipetik daripada laman sesawang rasmi Man Utd.

Pada saat ini, Man Utd kini sedang menghuni tangga ke-13 PL dengan kutipan 26 mata hasil merekodkan tujuh kemenangan dan lima keputusan seri.

Featured Image: Manchester United

Komen