Selangor Meneliti SIC Sebagai Venue Acara Pembukaan & Penutup SUKMA 2026
January 20, 2025 Hafizuddin Omar

Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Negeri Selangor bakal menyajikan sesuatu yang unik buat julung kalinya dengan acara pembukaan dan penutupan rasminya akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) – bukan di stadium sepertimana kebiasaannya.

Perkara tersebut sedang dalam pertimbangan Jawatankuasa Pengelola (Induk) Temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA XXII selepas mereka mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari pada hari ini.

Dalam mesyuarat yang sama, jawatankuasa terbabit turut menimbangkan Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) – gelanggang rasmi Selangor FC – sebagai venue untuk acara pembukaan dan penutupan rasmi Para SUKMA XXII.

Kedua-dua pertimbangan itu dikongsikan sendiri oleh Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA & Para SUKMA XXII Selangor 2026 menerusi satu kenyataan media.

Baca: Selangor Dipilih Tuan Rumah SUKMA & Para SUKMA 2026

“Jawatankuasa Pengelola (Induk) turut memutuskan pihak sekretariat agar memulakan pemeriksaan ke atas semua kemudahan dan infrastruktur sukan di seluruh Negeri Selangor bagi menilai tahap kebolehgunaan serta mengenal pasti masalah-masalah yang perlu ditangani seterusnya menaik taraf kemudahan dan infrastruktur tersebut pada kadar segera.” katanya.

Tidak ketinggalan, mesyuarat pada hari ini turut menimbangkan penganjuran SUKMA XXII dan Para SUKMA XXI pada bulan Ogos 2026.

Menerusi kenyataan itu juga, Jawatankuasa Pengelola memutuskan sebanyak 28 acara sukan akan dipertandingkan dalam SUKMA XXII manakala lima acara sukan tambahan akan diumumkan kelak sementara Para SUKMA XXII pula, mempertandingkan 10 acara sukan.

Sebagai tambahan, pihak sekretariat mengumumkan akan membuka penyertaan kepada para pereka grafik untuk mencipta logo rasmi temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA XXII. Syarat-syarat serta terma pertandingan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Featured Image: Sepang International Circuit

Komen