Kemajuan Pemulihan Pemain No.8 Selangor FC Memberangsangkan
January 21, 2025 Hafizuddin Omar

Pemain yang menyarung jersi bernombor 8 bersama Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh menunjukkan kemajuan pemulihan yang sangat memberangsangkan mengikut protokol pemulihan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang ditetapkan buat atlet profesional, kongsi pihak kelabnya.

Terdahulu, pemain tengah berusia 27 tahun kelahiran Jordan itu terpaksa melupakan baki saingan musim ini berikutan ditimpa kecederaan ACL pada lutut kirinya ketika bertemu PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 19hb Oktober.

Dimaklumkan, sesi pemulihan Noor telah berlangsung selama dua bulan dengan menjalani pelbagai latihan kekuatan untuk kedua-dua belah lututnya termasuk latihan keseimbangan dan koordinasi di Red Giants Medical Centre (RGMC).

Selain itu, Noor juga mendapatkan rawatan khusus dan terperinci bersama doktor dan ahli fisioterapi pasukan.

Pada masa yang sama, kelabnya turut memaklumkan Noor komited melakukan sesi hidroterapi dan rawatan manual terapi sepanjang sembilan minggu lalu – fasa untuk memastikan atlet mencapai kondisi “return to play” dengan lebih cepat.

Noor turut mengiringi sesi pemulihannya dengan mendapatkan pendedahan yang lebih mendalam berkenaan nutrisi pemakanan yang diperlukan oleh atlet – untuk pemulihan yang lebih sempurna.

Tidak lama lagi, Noor akan memulakan latihan pliometrik – fasa yang penting untuk meningkatkan kekuatan dan kepantasan dalam larian selain membantu dirinya mendapatkan semula keyakinan untuk beraksi di padang secara berperingkat.

Sebagai rekod, ACL yang menimpa Noor ini merupakan kecederaan jangka masa panjang pertama dialaminya sejak bergelar pemain bola sepak profesional.

Untuk makluman, berdasarkan perkongsian daripada doktor dan ahli fisioterapi, sesi pemulihan ACL mengambil masa enam hingga 12 bulan, bergantung kepada individu.

Featured Image: AFC

Komen