
Pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Muhammad Abu Khalil tidak menunggu lama untuk meraih debut dalam kancah Liga Thai 1 setelah menyertai Nakhonpathom United FC secara rasmi pada Jumaat lalu.
Pemain berusia 19 tahun itu tampil buat kali pertama bersama skuad berjulukan King Tigers dalam saingan tertinggi kancah bola sepak jiran tetangga itu ketika bertemu Bangkok United FC di Stadium Thammasat, pada Isnin.
Muhammad dimasukkan oleh ketua jurulatih, Thongchai Sukkoki pada separuh masa kedua menggantikan Sunchai Chaolaokhwan.
Debut Muhammad turut dihiasi dengan Nakhonpathom United berjaya membawa pulang satu mata setelah berhasil mengikat Bangkok United, penghuni tangga kedua liga, dengan keputusan 1-1.
Jaringan penyamaan oleh Nakhonpathom United itu dijelmakan oleh pemain tengahnya, Jennarong Phupha pada minit ke-59.
Terdahulu, Bangkok United berhasil mendahului 1-0 seawal minit ke-9 hasil jaringan oleh Peerapat Notchaiya.
Untuk makluman, Muhammad menyertai Nakhonpathom United dengan kontrak secara pinjaman daripada Selangor FC.
Kelab yang berpangkalan di sebelah barat dari ibu negara Thailand itu menjadi destinasi Muhammad setelah tempoh pinjamannya bersama FC Osaka yang beraksi dalam divisyen ketiga bola sepak Jepun telah tamat pada 31h Disember lalu.
Sementara itu, seorang lagi pemain negara yang beraksi bersama Nakhonpathom United iaitu Fergus Tierney turut beraksi dalam perlawanan ke-18 liga, semalam.
Bagaimanapun, dia sekadar beraksi beberapa minit sahaja susulan dimasukkan pada masa kecederaan menggantikan penjaring golnya, Jennarong Phupha.
Sebagai tambahan, keputusan seri semalam masih meletakkan Nakhonpathom United dalam zon penyingkiran – tangga ke-15 liga.
Featured Image: Nakhonpathom United FC