Chery Beri Diskaun 50% Kepada Pemenang Emas Paralimpik Beli SUV
January 21, 2025 Hafizuddin Omar

Kejayaan Cheah Liek Hou membutirkan pingat emas Paralimpik 2024 membolehkannya membawa pulang kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Chery model OMODA E5 dengan membayar separuh harga sahaja.

Atlet badminton para yang beraksi dalam kategori SU5 mendapat potongan harga tersebut selepas Chery Malaysia tampil memberikan diskaun eksklusif bagi meraikan dan menghargai pencapaian serta sumbangan paralimpian negara.

Chery Malaysia memaklumkan memberikan diskaun sebanyak 50% bagi pembelian SUV model TIGGO 8 Pro, OMODA 5 dan OMODA E5 kepada atlet Paralimpik yang membutirkan kilauan pingat emas di Paralimpik Paris 2024.

Sementara itu, atlet Paralimpik yang membawa pulang pingat perak mara ke peringkat akhir serta serta separuh akhir diberikan diskaun sebanyak 30% bagi ketiga-tiga model tersebut.

Manakala, mana-mana atlet yang layak ke Paralimpik serta Sukan Olimpik 2024 pula diberikan diskaun sebanyak 15% bagi barisan model SUV yang sama.

Sesi serahan kenderaan itu disampaikan oleh Menteri Belia & Sukan, YB Hannah Yeoh; sambil disaksikan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Dato’ Sri Megat D. Shahriman serta dua Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew dan Cheng Nam Weng bertempat di Bilik Pameran Chery, Glenmarie, pada hari ini.

Selain Liek Hou, Chery turut menyerahkan SUV model OMODA 5 kepada atlet lontar peluru para yang memenangi pingat perak, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang membawa pulang pingat emas disamping memecah rekod dunia tidak hadir dalam sesi penyerahan pada hari ini namun dikhabarkan telah menempah sebuah SUV model TIGGO 8 Pro.

Sebagai rekod, pada Ogos tahun lalu, Chery Malaysia menghadiahkan sebuah SUV model TIGGO 7 Pro secara percuma kepada setiap seorang pemain badminton negara yang membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 iaitu Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Komen