
Peminat sukan bola jaring tempatan bakal berpeluang untuk menyaksikan pasukan-pasukan bola jaring tempatan beradu kekuatan dengan pasukan-pasukan ternama dari luar negara pada masa akan datang.
Perkembangan ini hadir selepas Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John mendedahkan Astro selaku penganjur Netball Super League (NSL) merancang menganjurkan NSL Regional Cup.
Ianya merupakan penambahan trofi bagi saingan NSL yang melibatkan pasukan jemputan ternama dari Australia, Singapura, New Zealand, Sri Lanka dan lain-lain lagi.
Bagaimanapun, John berkata impian ini memerlukan sokongan daripada badan korporat mahupun kerajaan untuk membantu melestarikan sukan ini dan liga ini ke tahap yang lebih kompetitif dan berprestij.

Sementara itu, pada hari ini berlangsungnya pelancaran NSL musim keempat yang akan membuka tirainya pada 1hb Februari dan menutup tirai pada 23hb Februari – empat minggu.
Sepertimana musim lalu, ianya ditandingi lapan buah pasukan yang sama terdiri daripada Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips, Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites.
Pada masa yang sama, saingan musim ini dijangka bertambah rancak dan kompetitif dengan penyertaan seramai 15 pemain import secara keseluruhan – meningkat empat orang berbanding musim lalu – dari pelbagai negara termasuk daripada negara ranking No.1 dunia, Australia.
Saingan NSL 2025 turut menyaksikan penyertaan lebih banyak badan atau syarikat korporat selaku penaja seperti Elite (Penaja Pakaian Rasmi), Figos (Penaja Bola Rasmi), ASICS (Penaja Kasut Sukan Rasmi), MAHSA Specialist Hospital (Hospital Rasmi), Celebrity Fitness (Rakan Kecergasan), Medi Physio (Fisioterapi Rasmi) dan ERA (Radio Rasmi).