Masters Indonesia: Pang Ron-Su Yin Lakar Kemaraan Sulung Ke Pusingan 16 Tahun Ini
January 22, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.4 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin berhasil menjelmakan kemaraan pertama ke peringkat pusingan 16 pada tahun ini.

Terdahulu, gandingan yang menghuni ranking ke-18 dunia ini terpaksa akur terkandas awal pada peringkat pusingan 32 dalam dua kejohanan pertama yang disertainya tahun ini iaitu Terbuka Malaysia 2025 dan Terbuka India 2025.

Kemaraan itu menjelma selepas Pang Ron-Su Yin melakar kemenangan ke atas beregu Hong Kong di kedudukan ke-67 dunia, Lui Chun Wai dan Fu Chin Yan pada pusingan 32 di Masters Indonesia 2025 pada hari ini.

Dalam pertarungan tersebut yang berlangsung di Istora Senayan, Pang Ron-Su Yin meraih kemenangan secara “ straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-17 dalam masa tidak sampai setengah jam.

Sebagai rekod, ini kemenangan kedua berturut-turut Pang Ron-Su Yin ke atas lawan yang sama selepas menumbangkan mereka di kejohanan Badminton Terbuka Macau 2024.

Susulan kemenangan ini, di pusingan 16 kelak, Pang Ron-Su Yin akan menantikan cabaran samada daripada Adnan Maulana dan Indah Cahya (Indonesia / ranking 70) atau Dhruv Kapila dan Tanisha Crasto (India / ranking 43).

Pemenang pertembungan ini akan meraih tiket ke peringkat suku akhir bagi salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 500 ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen