Ranking BWF: Hanya 3,127 Mata Pisahkan Sze Fei-Izzuddin & Astrup-Rasmussen
January 22, 2025 Hafizuddin Omar

Jurang mata antara beregu lelaki negara yang bergerak secara bebas (independent), Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin dengan pasangan No.1 dunia dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen semakin mengecil.

Menerusi kemaskini Ranking Dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa, Sze Fei-Izzuddin yang menghuni tangga kedua dalam ranking tersebut hanya dipisahkan sebanyak 3,127 mata berbanding Astrup-Rasmussen.

Perbezaan yang semakin mengecil itu disumbangkan oleh kejayaan Sze Fei-Izzuddin menjuarai kejohanan Terbuka India 2025 pada minggu lalu – memberikan mereka tambahan 11,000 mata.

Tambahan mata itu sekaligus membolehkan mereka mengumpul 91,876 mata secara keseluruhan daripada 10 kejohanan terbaik disertai mereka dalam tempoh 52 minggu lepas.

Sementar itu, jumlah mata dimiliki Astrup-Rasmussen yang kecundang di pusingan 32 Terbuka India 2025 pada minggu ini kekal tidak berubah sepertimana minggu lalu iaitu 95,003 mata.

Sebagai perbandingan, ketika BWF melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia pada minggu lalu, minggu ketiga bagi tahun 2025, kedua-dua beregu ini dipisahkan dengan  9,087 mata.

Ketika itu, Sze Fei-Izzuddin menghuni tangga kedua dunia dengan pungutan 85,916 mata.

Untuk makluman, kedua-duanya tidak beraksi di saingan Masters Indonesia 2025 yang berlangsung pada minggu ini.

Dijangka, kemaskini Ranking Dunia yang berikutnya oleh BWF pada Selasa hadapan akan menobatkan Sze Fei-Izzuddin selaku beregu lelaki No.1 dunia yang baharu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen