
Senarai penuh pasukan yang menyertai kancah tertinggi futsal tanah air bagi kategori lelaki diumumkan secara rasmi oleh badan induk bola sepak negara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menerusi satu makluman yang dikongsikan pada hari ini, saingan Malaysia Futsal Premier League Divisyen 1 akan disertai oleh lapan buah pasukan – sama seperti tahun lalu.
Bagaimanapun, saingan musim ini akan diserikan dengan kehadiran dua pendatang baharu iaitu Kedah serta Malaysian University FT – dinaikkan pangkat daripada saingan Divisyen 2 2024.
Kedua-dua pasukan ini menyertai enam pasukan Divisyen 1 sedia ada iaitu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim diikuti Selangor FC, Pahang Rangers FC, Sabah FA, TOT United FC dan KL City FC.

Turut dimaklumkan saingan musim ini dijadualkan berlangsung dari 8hb Mac hingga 13hb Julai 2025.
Formatnya kekal sama seperti musim lalu, dijalankan secara liga dua pusingan (home & away).
FAM memaklumkan pusingan pertama (perlawanan 1 hingga 7) berlangsung dari 8hb Mac hingga 11hb Mei. Sementara itu, pusingan kedua (perlawanan 8 hingga 14) pula akan bermula dari 24hb Mei hingga 13hb Julai 2025.
Peraturan pemain import juga kekal seperti musim lalu dimana setiap pasukan dihadkan mendaftarkan maksimum dua pemain import sahaja selain wajib menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga pemain bawah 19 tahun (lahir pada atau selepas 1hb Januari 2006).