
Jersi baharu skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya keluaran PUMA – edisi pertama selepas beralih daripada jenama NIKE – dilancarkan dan diperkenalkan secara rasmi pada hari ini.
Acara pelancaran yang berlangsung di PUMA Flagship Store, Sunway Pyramid Mall menyaksikan jersi baharu tersebut hadir dalam edisi “home” dan “away” dengan warna tradisi serta ikonik kuning dan hitam masing-masing yang melambangkan kebanggaan dan daya tahan.


Kedua-dua jersi tersebut menampilkan teknologi fabrik ULTRAWEAVE daripada PUMA bagi memberikan keselesaan ringan, fleksibiliti dan ketahanan sekaligus membolehkan pemain beraksi pada tahap tertinggi samada di gelanggang tempatan atau pentas global.
Dalam acara itu juga, PUMA turut memperlihatkan rekaan jaket serta persalinan untuk latihan atau pemanas badan.
Menurut PUMA, jersi ini diletakkan tanda harga RM319 dan stok adalah terhad buat masa ini.
Bagi para peminat yang ingin mendapatkan jersi baharu ini, ianya boleh dibeli bermula hari ini di PUMA Flagship Store Sunway Pyramid Mall dan kedai PUMA di Suria KLCC. Sementara itu, kedai-kedai lain akan mula menjualnya dalam masa terdekat.
