Ini Komen Peter Cklamovski Mengenai Pemain Warisan Malaysia

January 23, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Baru-baru ini, pelopor kepada idea penstrukturan semula skuad bola sepak kebangsaan iaitu DYAM Tunku Mahkota Ismail mendedahkan telah mengenalpasti enam hingga tujuh pemain warisan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Enam hingga tujuh pemain tersebut merangkumi pemain di beberapa posisi seperti pertahanan tengah, bek kiri, pemain tengah, pemain tengah menyerang, pemain sayap kiri termasuk penyerang.

Tiada sebarang bayangan yang lebih terperinci dikongsikan oleh Tunku Ismail namun majoriti pemain tersebut beraksi dalam kancah tinggi bola sepak di eropah selain kebanyakannya berasal dari selatan eropah dan bukannya England.

Idea untuk memanggil kelompok pemain warisan baharu ini untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya turut berada dalam pengetahuan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski namun jurulatih berusia 46 tahun dari Australia ini tidak mengulas dengan lebih lanjut.

“Proses ini sedang berkembang dan bukan untuk saya bincangkan pada hari ini.” katanya ketika ditemui di acara pelancaran dan pengenalan jersi baharu Harimau Malaya di PUMA Flagship Store, Sunway Pyramid Mall tengah hari tadi.

Ketika Tunku Ismail merangkap Pemangku Sultan Johor mendedahkan mengenai enam hingga tujuh pemain warisan terbabit, baginda turut memohon Kerajaan Malaysia dapat membantu memberikan pasport kepada pemain-pemain tersebut.

Ini bagi membolehkan pemain-pemain itu dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac kelak.

Pada masa yang sama, Cklamovski yang baru sahaja tiba di ibu negara pada Rabu memberi jaminan bahawa setiap pemain mempunyai peluang untuk membuktikan diri mereka dan peluang untuk bermain buat negara tanpa mengira nama dan usia – asalkan beraksi dengan bagus.

Featured Image: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd