BAMTC: Gabungan Pemain Berpengalaman & Bakat Muda Taruhan Malaysia
January 24, 2025 Hafizuddin Omar

Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) yang akan berlangsung di Qingdao, China dari 11hb hingga 16hb Februari kelak akan ditandingi Malaysia dengan skuad yang terdiri daripada gabungan pemain-pemain berpengalaman dan bakat muda.

Menerusi satu pengumuman oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Khamis, beregu campuran No.2 negara yang bergerak secara bebas (independent) iaitu Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai muncul pemain paling berpengalaman disenaraikan untuk menyarung jersi Malaysia pada kali ini.

Turut menyertai skuad ini adalah pemain-pemain yang sedang meningkat naik seperti Leong Jun Hao, Letshanaa Karupathevan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.

Selebihnya, BAM melengkapkan skuad ini dengan pemain-pemain muda berbakat seperti Justin Hoh, Wong Ling Ching, Tan Zhing Yi dan Cheng Su Hui.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berkata, “selepas membuat pertimbangan, kami memilih untuk membentuk pasukan yang seimbang, menggabungkan pemain berpengalaman dengan pemain pelapis untuk memberikan mereka peluang besar (beraksi di pentas tinggi).”

View this post on Instagram

A post shared by BAM (@ba_malaysia)

Tambah Rexy lagi, “jika bukan sekarang, bila lagi mereka akan mendapat peluang?”

Pendekatan ini juga dilihat untuk mengasah bakat-bakat muda menjadi pelapis kepada kepada perseorangan dan beregu handalan negara seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Untuk makluman, kempen Malaysia dalam saingan BAMTC kali ini akan bermula daripada Kumpulan B bersama-sama Indonesia, Hong Kong China dan Kazakhstan.

Pada edisi lalu yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun 2023, skuad Malaysia mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum ditumpaskan China, yang akhirnya muncul juara.

Sebagai tambahan, BAMTC turut menawarkan slot ke kejohanan bercampuran dunia iaitu Piala Sudirman 2025 yang akan berlangsung di Xiamen, China bermula dari 27hb April hingga 4hb May 2025. 

Komen