Son Sertai Kelompok 10 Pemain Dengan Penampilan Terbanyak Bersama Tottenham Hotspur
January 24, 2025 Hafizuddin Omar
Son Heung-min of Tottenham Hotspur celebrates scoring a goal for their side to make it 3-1

Nama Son Heung-min kini tergolong dalam kelompok 10 pemain dengan penampilan terbanyak bersama Tottenham Hotspur atau Spurs selepas hampir sedekad beraksi bersama kelab tersebut.

Bintang bola sepak Korea yang berusia 32 tahun itu menyertai carta berkenaan selepas merekodkan penampilan ke-436 bersama Spurs ketika diturunkan bertemu Hoffenheim dalam siangan Liga Europa, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Jumlah penampilan itu membolehkan Son merangkap kapten pasukan mengatasi individu kesepuluh sebelum ini merangkap bekas rakan sepasukannya, Harry Kane yang mempunyai 435 penampilan bersama Spurs.

Dalam keadaan Son menjadi ayam tambatan buat skuad bimbingan Ange Postecoglou serta mempunyai kontrak bersama Spurs sehingga musim panas 2026, penyerang sayap ini dijangka tidak menunggu lama untuk meletakkan dirinya dalam kelompok 6 pemain dengan penampilan terbanyak.

Sebagai tambahan, Son yang beraksi sehingga minit ke-79 dalam perlawanan itu juga turut menyumbangkan dua gol sekaligus membantu Spurs menewaskan Hoffenheim di Arena Rhein-Neckar dengan keputusan 3-2.

Jaringan berganda itu menyaksikan Son kini mengumpul 172 gol bersama Spurs – hanya dibezakan dengan dua gol berbanding penjaring keempat sepanjang zaman Spurs, Martin Chivers dengan rekod 174 gol dalam semua pertandingan.

Untuk rekod, Son mula menyertai Spurs pada Ogos 2015 selepas berhijrah meninggalkan kelab Jerman iaitu Bayer Leverkusen.

Featured Image: Tottenham Hotspur

Komen