Atlet-Atlet Boling Negara Dapat Ganjaran RM90,000 Daripada MSN
January 24, 2025 Hafizuddin Omar

Atlet-atlet boling negara yang melakar pencapaian cemerlang pada Kejohanan Piala Dunia Boling Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong awal bulan ini menerima ganjaran berupa wang tunai sebanyak RM90,000 secara keseluruhan.

Penyaluran ganjaran itu dilakukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai insentif khas serta pengiktirafan kepada atlet-atlet negara biarpun, pada awalnya, Piala Dunia IBF tidak disenaraikan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Jumlah ganjaran itu diagihkan kepada individu-individu dan anggota skuad lelaki dan wanita berdasarkan pencapaian masing-masing di Piala Dunia IBF 2025.

Natasha Roslan, 28 tahun, yang muncul juara acara individual wanita – turut menempa sejarah sebagai atlet boling wanita negara pertama muncul juara – menerima RM20,000.

Gelaran itu melengkapkan koleksi kejuaraan dirangkul Natasha yang sebelumnya muncul juara individu wanira di Kejohanan Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait serta juara berpasukan dunia bertempat di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 2017.

Seterusnya, skuad lelaki yang terdiri daripada Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Timmy Tan yang meraih gelaran juara acara berpasukan lelaki pula menerima RM40,000.

Pada masa yang sama, Rafiq yang turut meraih gelaran naib juara acara individu lelaki menerima tambahan ganjaran RM10,000.

Sementara itu, gandingan Natasha, Sin Lin Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim yang muncul naib juara acara berpasukan wanita pula menerima RM20,000.

Untuk makluman semua, insentif khas ini disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh di Pejabat Menteri, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Khamis.

Turut hadir dalam sesi penyampaian insentif khas itu adalah Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

View this post on Instagram

A post shared by Majlis Sukan Negara Malaysia (@msn_malaysia_official)

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

Komen