Masters Indonesia: Beregu Campuran No.1 & No.2 Negara Kandas Suku Akhir

January 24, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kempen kedua-dua beregu campuran No.1 dan No.2 negara iaitu Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai di Masters Indonesia 2025 menemui titik noktahnya pada peringkat suku akhir.

Soon Huat-Shevon terlebih dahulu tersingkir daripada salah satu siri Jelajah Dunia BWF Super 500 ini apabila tewas di tangan gandingan Jepun yang menduduki ranking ke-12 dunia, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito.

Pertembungan yang berlangsung di Istora Senayan itu berakhir dalam masa setengah jam dengan Soon Huat-Shevon yang juga pasangan suami isteri tewas “straight set” menerusi skor 15-21 dan 9-21.

Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan kelima dialami Soon Huat-Shevon di tangan Hiroki-Natsu  daripada tujuh pertembungan secara keseluruhan di pelbagai pentas kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei pula terpaksa melupakan hasrat untuk mara buat kali ketiga berturut-turut dalam tiga kejohanan yang disertainya pada tahun ini apabila ditumbangkan juara Terbuka Malaysia 2025 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.

Bagaimanapun, pertembungan kedua melibatkan Tang Jie-Ee Wei dan Dechapol-Supissara pada tahun ini berlangsung sengit.

Kedua-dua terpaksa berentap sebanyak tiga permainan yang mengambil masa selama satu jam dan sebelas minit di atas gelanggang sebelum ianya berakhir menerusi skor 18-21, 22-20 dan 21-18 berpihak kepada Dechapol-Supissara.

Perkembangan ini menjadikan hasrat peminat untuk menyaksikan sekurang-kurang satu wakil Malaysia dalam sektor beregu campuran beraksi di peringkat separuh akhir jatuh di atas bahu beregu No.3 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin.

Gandingan yang menduduki ranking ke-18 dunia ini akan turun membuat perhitungan dengan pasangan tuan rumah yang menduduki ranking ke-339 dunia, Rinov Rivaldy dan Lisa Ayu di Gelanggang 2, sebentar lagi.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd