Masters Indonesia: Pearly-Thinaah Ke Separuh Akhir Super 500

January 24, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berjaya menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir dalam satu lagi kejohanan yang disertainya pada tahun ini.

Terbaru, kemaraan tersebut dilakar Pearly-Thinaah dalam saingan Masters Indonesia 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 500 – hasil menumpaskan beregu Jepun yang menduduki ranking ke-36 dunia, Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto.

Pertembungan yang berlangsung di peringkat suku akhir itu berakhir dengan Pearly-Thinaah yang turut diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan meraih kemenangan “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-15 dalam masa 48 minit.  

Menariknya, ini juga merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakar Pearly-Thinaah ke atas Fukushima-Matsumoto selepas bertembung pada minggu lalu di Terbuka India 2025.

Sementara itu, pada keesokan hari, Pearly-Thinaah yang mara ke peringkat separuh akhir akan membuat perhitungan dengan samada beregu Chinese Taipei, Chang Ching Hui dan Yang Ching Tun (ranking 22) atau beregu Korea, Lee Yeon-woo dan Lee Yu-lim (ranking 146).

Sebagai rekod, perjalanan Pearly-Thinaah di Masters Indonesia pada tahun lalu berakhir setakat suku akhir selepas tumpas di tangan beregu China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd